Friday, April 9, 2010

HATI


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



"ketahuilah, sesungguhnya di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seuruh badan. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah ia adalah hati."

Hati adalah suatu perkara yang terlalu sukar untuk kita ungkap maksud yang paling tepat mengenainya. Sekadar yang kita tahu hati di dalam istilah Bahasa Melayu adalah satu organ yang berfungsi di dalam badan manusia. Tetapi secara universalnya orang mengaitkan hati ini dengan perasaan. Tidak kira gembira, sedih, marah, benci, dan apa sahaja perasaan akan dikaitkan dengan hati. Seperti mana yang telah diterangkan pada penghujung Hadith di atas yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim melalui sahabat bernama al-Nu'man bin Bashir sekiranya hati kita berada dalam keadaan sihat maka sihatlah seluruh badan kita manakala sekiranya hati kita berada dalam keadaan sakit maka sakitlah seluruh badan kita.

Sebagai contoh kita dapat lihat sekiranya seseorang pada hari itu berada dalam keadaan tertekan ataupun marah dan bercampur sedih maka kita akan dapat lihat orang itu akan berada dalam keadaan tidak terurus malah ada yang sanggup merosakkan diri sendiri dengan meminum kencing syaitan bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi.
Ini berlaku apabila seseorang itu tidak ada iman di dalam dirinya sehingga nafsu dapat menguasai segala perbuatannya. Berbeza pula dengan orang yang hatinya sentiasa sihat dan diberi rawatan dengan pengisian ataupun tazkiahtun nafs dan sebagainya maka orang tersebut akan berfikir sebelum bertindak dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata kerana di dalam dirinya telah di suluh oleh nur iman itu sendiri. Walaupun dia berada dalam keadaan sedih, marah dan apa sahaja dia masih mampu mengawalnya.

Hati kita ini sentiasa berubah-ubah, kadang-kadang kita rasa kuat apabila kita dekat dengan Allah S.W.T, tetapi kadang-kadang kita rasa hati ini seperti gersang kerana, sama ada kita sedar atau tidak kita telah jauh dari Pencipta kita. Saya juga sentiasa mengalami perkara ini dan hakikatnya sukar untuk kita sentiasa istiqamah dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan. Betapa tenangnya hati ini apabila kita sentiasa rasa Allah melihat dan menjaga kita sehinggakan kita takut untuk melakukan kemungkaran. Di situlah di mana iman kita benar-benar berada di atas walaupun tidaklah seperti iman para Rasul, itu cukup memberikan ketenangan kepada diri kita. Tetapi hakikatnya kemanisan iman yang sebenarnya sukar untuk kita kecapi malah untuk menjaganya cukup payah. Rasulullah sendiri sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T "Allahumma Ya Muqalllibal Qulub, Tsabit Qulubuna 'Ala Diinik" yang bermaksud "Wahai (Allah yang membolak-balikkan, teguhkan hati-hati kami atas agamamu" . Nabi Muhamammad seorang yang telah dijanjikan syurga olh Allah S.W.T masih berdoa kepada Allah kerana tanda syukurnya apatah lagi seorang hamba yang biasa yang tidak tahu di mana pengakhiran kita sama ada syurga bagi orang-orang yang beriman ataupun neraka jahanam bagi orang yang munafik na'uzubillahi min zalik sepatutnya lebih berlipat kali ganda dalam membuat amal kebaikan.

"Ya Allah sesungguhnya aku adalah hamba yang sentiasa memungkiri janjiku padaMu, hamba yang penuh dengan dosa-dosa ya Allah. Ya Allah sesungguhnya aku tidak layak ke syurgaMu namun tidak pula aku sanggup ke nerakaMu ya Allah. Ya Allah tuhan yang membolakkan hati ini kekalkan aku dalam jalan kebenaranMu yakni AgamaMu Ya Allah. Ya Allah hidupkanlah aku dalam keimanan, Kau matikanlah aku dalam keimanan dan masukkanlah aku kesyurgaMu dengan iman Ya Allah. Ya Allah jangan Engkau pesongkan hati ini setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih danPenyayang, Engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima segala hajat, Amin Ya Rabbal Alamin."

Sekian, sedikit perkongsian mengenai hati dan moga Allah sentiasa tautkan hati-hati kita dalam agamaNya, insyaAllah... Amin..




2 comments:

BKK said...

jangan berhenti menulis. biar tiada yang membaca.

Nur said...

BKK: insyaAllah...syukran

Template by:
Free Blog Templates